Wednesday, 3 May 2017

Apa itu Teknologi Pendidikan?


Perkataan teknologi berasal daripada bahasa Yunani  iaitu ‘techne’ yang bermaksud kemahiran menggunakan pengetahuan secara sistematik sehingga adanya satu amalan yang praktikal bagi melaksanakan sesuatu tugasan. Teknologi bukanlah semata-mata alat dan mesin sahaja. Ia merangkumi proses dan idea. Kekuatan teknologi terletak pada proses dan idea, manakala kejayaan untuk mencapau sesuatu maksud atau objektif terletak pada alat. Ini bermakna dalam merancang sesuatu pengajaran, perancangan awal yang melibatkan penggunaan idea sama ada dalam bentuk teori, pendekatan, kaedah dan sebagainya adalah merupakan proses yang terpenting. Alat pula bertindak sebagai pemangkin untuk mencapai kejayaan. Naim Haji Ahmad (1990) mendefinisikan teknologi pendidikan sebagai satu pendekatan atau perkaedahan yang memadukan secara harmonis, fungsi-fungis pengurusan (oragnisasi dan individu), pengembangan (penyelidikan, teori reka bentuk, penerbitan, penilaian, pemilihan, logistik, penggunaan dan penyebaran dan sumber (mesej, bahan, alat, teknik) dan cara penyediaan secara sistematik untuk penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran manusia.

Yusuf Hashim (1997) mengatakan bahawa teknologi pendidikan adalah satu proses merancang, membina, mereka bentuk, melaksana dan menilai aktiviti-aktiviti pembelajaran secara sistematik dengan tujuan untuk meningkatkan serta memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Keadaan pelajar juga ditekankan sebagai sebahagian daripada teknologi pendidikan kerana hal ini boleh mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Persatuan Komunikasi dan Teknologi Pendidikan (AECT) berpendapat bahawa teknologi pendidikan adalah satu bidang yang terlibat dalam kemudahan menyediakan pembelajaran untuk manusia menerusi pengenalpastian, penyusunan, penggunaan dan pengurusan sumber yang sedia wujud, pengurusan proses dan manusia yang terlibat melakukannya.

Teknologi pendidikan pada awal tahun 1920 dipandang sebagai media. Pandangan teknologi pendidikan sebagai media adalah kerana ia pertama kali media digunakan dalam pendidikan. Media dalam pendidikan pada masa itu digunakan untuk menampilkan sebuah pembelajaran visual dalam bentuk gambar. Padangan teknologi pendidikan sebagai media berlanjutan sehingga tahun 1950. Pada tahun 1960, teknologi pendidikan menjadi salah satu kajian yang menjadi perhatian dalam kalangan ahli pendidikan. Perkembangan ini adalah merupakan lanjutan daripada perkembangan kajian mengenai penggunaan audio, visual dan program pembelajaran dalam penyelenggaraan pendidikan. Pada tahun 1977, teknologi pendidikan adalah proses komples yang terintergrasi merangkan manusia, prosedur, gagasan, saranan dan organisasi untuk menganalisis masalah dan merancang, melaksanakan, menilai dan mengelola masalah dalam aspek pembelajaran manusia.


Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa teknologi pendidikan adalah merupakan satu cara yang sistematik dalam mencorak, melaksanakan dan menghalusi proses keseluruhan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk tujuan pembelajaran yang spesifik, berdasarkan kepada penelitian dalam teori belajar dan komunikasi pada manusia dan menggunakan kombinasi sumber-sumber belajar dari manusia mahupun bukan manusia untuk menjadikan pembelajaran lebih efektif.  Selaijn itu, bidang ini juga meliputi aktiviti seperti mengenalpasti sumber pendidikan dan sumber manusia untuk pengajaran dan pembelajaran, membangun, menghasil, mengelola dan menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment