Wednesday, 3 May 2017

Kepentingan Teknologi Pendidikan

Teknologi pendidikan merupakan salah satu medium untuk membantu dalam pengajaran. Ia tidak boleh digunakan untuk menggantikan pengajaran. Ia digunakan sebagai bahan bantu mengajar untuk membantu guru mengajar sesuatu tajuk dengan lebih berkesan. Menurut Tengku Azzman (1989), terdapat 3 sebab utama komputer digunakan dalam pendidikan. Pertama, banyak maklumat yang boleh didapati daripada komputer. Kedua, kemampuan komputer dalam menyimpan dan mengutip segala maklumat serta pengetahuan yang hanya boleh dikelolakan dengan baik oleh komputer. Ketiga, maklumat dan pengetahuan menjadi salah satu kunci untuk pencarian maklumat dalam kehidupan manusia terutama kepada diri pelajar sendiri.

Komputer membantu guru untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang berkesan jika digunakan dengan sistematik. Pengajaran yang disertakan dengan alat bantu mengajar yang terkini mampu untuk meningkatkan minat pelajar dalam mempelajari sesuatu bidang pelajaran. Bukan itu sahaja, jika komputer dapat digunakan secara sistematik dan berkesan oleh guru, ia mampu untuk membantu menyelesaikan masalah dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kepentingan teknologi pendidikan juga adalah dapat menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih aktif serta mampu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan. Guru dapat mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran dan bukan hanya tertumpu kepada kuliah sahaja bahkan dapat mempertingkatkan kualiti pengajaran dengan menggunakan pelbagai kemudahan yang terdapat dalam teknologi. Penggunaan internet dan kemahiran mengunakannya membolehkan guru dan pelajar mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang terkini dengan lebih cepat dan efisien tanpa perlu menunggu masa yang lama.

Bukan itu sahaja, kepentingan teknologi pendidikan adalah dapat memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua pelajar yang terdiri daripada pelbagai keupayaan. Semua pelajar yang berada di dalam satu kelas adalah terdiri daripada pelajar yang pelbagai. Setiap daripada pelajar tersebut mempunyai kebolehan dan keistimewaan masing-masing. Penggunaan  teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran mampu untuk membantu murid-murid memahami perkara yang diajar oleh guru dengan lebih jelas.


Kepentingan lain teknologi pendidikan juga adalah melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran, menjimatkan masa, tenaga dan kos, mengekalkan minat dan perhatian pelajar, mengelakkan berlakunya kekeliruan atau salah tafsir terhadapa konsep yang diajar, memberikan gambaran yang menyeluruh dan jelas, membantu pelajar mendapatkan kesan pembelajaran yang optimum, melibatkan pelbagai deria dan meningkatkan daya ingatan pelajar serta meluaskan pengalaman pelajar.


No comments:

Post a Comment